Inilah mursyidku
Monday, July 31st, 2006Inilah profil mursyidku tercinta:\

SALASILAH
Nama penuh salasilah ialah Ashaari bin Muhammad bin Idris bin Malek bin Abdul Kadir. Ustaz Ashaari berasal dari keluarga yang sangat terjaga silsilah keturunannya (keturunan orang baik-baik). Ibubapa, datuk dan nenek moyangnya terdiri dari ulama-ulama dan orang-orang soleh. Abdul Kadir, ayah kepada moyang Ustaz Ashaari adalah seorang yang warak dan soleh. Beliau ini dikatakan seorang wali Allah kerana banyak berlaku karamah luar biasa padanya.
Ibunya
Maimunah binti Haji Alias bin Abdul Karim bin A. Manan (atau di kenali dengan Hj. Syeikh). Watak IBUNYA sangat baik dan kuat beribadah. Keturunannya bertemu dengan salasilah Rasulullah s.a.w. Moyangnya adalah keturunan Jawa dan merupakan orang yang awal menyambut Islam di Pulau Jawa. Moyangnya yang digelar Hj Sheikh adalah seorang soleh yang dikatakan seorang wali Allah. Hj Alias, ayah Maimunah, sempat berguru dengannya.
KELAHIRANNYA
Ustaz Ashaari Muhammad diputerakan pada tanggal 30 Oktober 1937, di Kampung Pilin, Daerah Rembau, Negeri Sembilan (peta di atas). Kelahiran yang terlebih dahulu sudah ada tanda dan isyaratnya. Seorang waliullah besar bernama Saiyidi Syeikh Muhammad berpesan dalam wasiatnya : “Sepeninggalanku nanti, kamu semua akan jadi seperti anak ayam kehilangan ibu sehinggalah muncul seorang bernama Ashaari…. ”
Demi ketaatan dan menunaikan amanah guru, tanpa ocehan dan keluhan, menghunilah Kiyai Syahid di daerah asing itu. Daerah yang didiami sepi dan sunyi. Namun itulah kedamaian. Barangkali terkesan sesuatu yang aneh, gerangan kenapakah diutus seorang ulama yang warak dan berakhlak seperti Kiyai Syahid ke kawasan yang tidak punya apa-apa itu? Andai diamati dengan nilaian lahir, tiada yang istimewa selain hening dan sunyi. Lalu mahu dialurkan ke manakah bakat kepimpinan Kiyai Syahid? Syaksiah seorang kiyai, tidak sia-siakah jika hanya dimanfaatkan oleh umat desa terpencil itu saja?
Tetapi teka-teki itu tidak pernah pun terselit di celah benak Kiyai Syahid sebenarnya, walau sekelumit cuma. Begitu juga dengan Lebai Ibrahim yang menyusul langkah Kiyai Syahid. Pada mereka, yang utama ialah dengar dan taat sahaja. Demi mempertahankan ikatan cinta dengan guru, mereka rela menggadai nasib mempertaruhkan segalanya di desa terpinggir itu. Pilin, itulah cinta, dan begitulah bahayanya cinta. Ia tidak akan mengatakan tidak kepada yang dicintainya.
Keanehan yang tercipta hasil ukuran yang dibuat melalui pandangan lahir terjawab juga kemudiannya. Demikianlah guru, dalam tindakan yang satu, berubah hikmah yang beribu. Di sebalik yang tersurat tercatit maksud yang lebih tersirat. Begitulah juga dengan Kiyai Syahid, dikirim ke Pilin utntuk suatu persediaan. Beliau merintis laluan dan membuat tapak untuk diduduki. Dan Pilin pun menjadi semakin meriah dalam limpahan barakah. Barakah yang akan menaungi detik bersejarah tanggal 30 Oktober 1937. Salah seorang di antara adinda Lebai Ibrahim bernama Maimunah, dialah ibu bertuah yang melahirkan seorang anak bertuah.
Nasabnya dari zuriat yang mulia. Nenda di sebelah ayah bernama Idris. Berketurunan Arab-Bani Tamim bercampur Jawa. Beliau menetap di Wonosobo. AL Marhum Idris adalah seorang yang soleh. Namanya sentiasa meniti di bibir mulut warga Wonosobo, hingga ke hari ini. Nama yang harum, seharum bakti dan peribadi pemiliknya. Al Marhum Idris, bagai sudah dikhabarkan mengenai seorang putera yang bakal lahir, kelahiran yang susur-galurnya ada berkait dengan dirinya juga.
Muhammad menginjak ke alam dewasa menjadi pemuda warak dan berani. Sangat cintakan ilmu. Pantang didengarnya ada orang alim, pasti akan ke sana untuk berguru. Apa juga rintangan yang menghalang tidak dipeduli, biarpun terpaksa meradung belentara atau berbasikal berbatu-batu. Digagahinya juga demi menuntut ilmu. Akhirnya bertemu dan bergurulah Muhammad dengan Kiyai Syahid di Kg. Pilin.
Putaran roda waktu tak pernah henti atau terlambat. Dan putaran itu telah membawa Muhammad dan gurunya ke titik hubungan yang semakin mesra, terlalu mesra. Hingga mekarlah kelopak kasih menjadi sekuntum cinta yang semerbak harum. Kuntuman cinta yang menyerikan jambangan ukhuwah antara mereka.
Tiba masa Muhammad inginkan seorang teman hidup, pada gurunyalah dia menyerah. Maka Kiyai Syahid pun memilih Maimunah, adinda Lebai Ibrahim, yang ketika itu sudah bergelar balu. Muhammad seorang anak muda yang ada rupa, di samping seorang pegawai kastam. Ada juga anak dara yang menyimpan hati dengannya. Tetapi dia tidak ambil endah pada hal tersebut. Pilihan gurunya adalah yang tepat dan terbaik. Muhammad akur pada pilihan itu. Apatah pula bila teringat kembali pesan almarhum ayahanda.
Taat membawa berkat. Berbahagialah rumahtangga Muhammad dan Maimunah dalam restu dua ulama sufi, Kiyai Syahid dan Lebai Ibrahim. Lahirlah daripada mereka zuriat demi zuriat. Ketika Maimunah sarat mengandung anak keduanya, Muhammad telah bermimpi. Beliau didahului oleh anaknya dalam perenangan menuju ke sebuah pulau. Anaknya sampai tetapi beliau tidak. Bila mimpi itu dirujuk kepada gurunya, Kiyai Syahid pun berkat :“Anak engkau ini lebih dari engkau. Berilah nama Ashaari.”
Sejak kecil pendidikan agama anak lelaki yang bernama Ashaari dititik-beratkan. Seolah-olah dia akan ditatang bagai minyak yang penuh. Tetapi tidak begitu rupanya. Takdir mengatasi tadbir. Dan berlakulah berbagai-bagai peristiwa pahit-pahit belaka. Menyebabkan kasih sayang anak kecil itu berpindah-randah. Beralih dari tangan ke tangan.
Sewaktu usianya mencecah 5 tahun. Bondanya meninggal dunia. Tanggungjawab mendidik berpindah ke tangan ayahanda saudara, Lebai Ibrahim. Di situ dia didik oleh seorang ahli zikir, Lebai Ibrahim. Zikrullah, tahlil dan maulid menjadi basahan lidah. Istiqamah membaca tahlil setiap kali sebelum tidur. Hingga kadang-kala kelihatan seperti sudah tidur tetapi mulutnya masih terkumat-kamit membawa tahlil. Sampai kini, orang-orang tua Kampung Pilin, masih bercerita tentang kewarakan dan kealiman Lebai Ibrahim.
Hari-hari yang mendatang dilalui dengan tabah sebagai seorang anak yang sudah tidak punya tempat bermanja. Sewaktu-waktu ketika beliau sedang bersama kawan-kawan sepermainannya, ada orang bertanya. “Anak siapa tu?” “Itulah anak arwah Maimunah ……..” Sejenak dadanya sebak. Dia tunduk, cuba mengawal perasaannya. Tapi emosi kanak-kanaknya tak upaya disorok. Lalu berlinanglah air matanya. Dibawa dirinya, bersendiri di sawah padi, bersama kerbau-kerbau sawah. Di pinggiran sungai, membilang anak-anak ikan. Begitulah didikan Allah.
Tahun 1941 membawa ke 1943. Ustaz Ashaari kehilangan empat orang yang sangat dikasihinya, bondanya Maimunah, kekandanya Rahmah, adindanya Asiah dan Kiyai Syahid. Kemudian, semasa usianya 12 tahun, meninggal pula ayahanda saudaranya, Lebai Ibrahim. Kematian yang bertimpa-timpa. Dia kemudiannya dipelihara pula oleh bonda tirinya, Zubaidah. Sejak itulah Ustaz Ashaari hidup berdikari. Menjahit baju sendiri, memasak, menampal kasut dan menangguk ikan di bendang.
Tahun 1951, ketika berumur 14 tahun, Ustaz Ashaari terpaksa meninggalkan Kg. Pilin, daerah yang telah banyak mengajarnya mengenal erti kehidupan. Di daerah itulah terciptanya seribu satu peristiwa dan kenangan yang mewarnai hidupnya. Ustaz Ashaari meninggalkan Pilin, meninggalkan segala cerita suka dukanya di Pilin, menuju Segambut. Tinggal bersama nenda tirinya. Itulah jalan seribu liku, berbumbu susah. Namun di jalan inilah jiwa Ustaz Ashaari dikuatkan. Kental, lasak dan tabah menghadapi ujian hidup, persediaan untuk menggalas beban perjuangan yang lebih berat dan mencabar.
Di alam kanak-kanak, banyak yang luar biasa berlaku pada dirinya. Tingkah dan fikrah tidak sepadan dengan kadar berfikir anak-anak sebayanya, tanpa siapa pun mengajar. Dia melonjak-lonjak untuk belajar di sekolah Arab. Tanpa didorong sesiapa, beliau pergi mengaji Al Quran.
Pintarnya terserlah sejak kanak-kanak lagi. Khatam Quran dalam waktu yang tak sampai pun dua tahun. Kemudian dia sudah boleh mengajar kawan-kawannya. Bakat kepimpinannya pula menonjol, dia menjadi pemimpin kecil kepada rakan-rakan seperjuangannya.
BUMI KELAHIRANNYA
Segala-galanya bermula di Kampung Pilin, Negeri Sembilan. Nama yang penuh simbolik kerana Pilin bererti putar atau pulas. Apa yang diputar? Apa yang dipulas? Tapi ternyata kini, putera Pilin ini telah memutar dan memulas pemikiran orang ramai. Memerangi ideologi dan isme ciptaan manusia. Untuk kembali kepada Islam yang murni. Memerangi ideologi dan isme ciptaan manusia. Untuk kembali kepada Islam yang murni.
Pilin, bumi barakah. Tersisih tapi terpilih. Tersisih, kerana jauh dari arus kemodenan. Terpilih kerana selamat dari mungkar dan makar. Tidak diracuni hidup masyarakat atas nama kemodenan dan kemajuan. Ketika itu masyarakat Pilin bersatu-padu, berkasih sayang dan bekerjasama. Dan dalam suasana itulah Ustaz Ashaari terdidik. Di situ dahulu, setiap anak dianggap anak bersama.Boleh ditegur dan dipukul oleh sesiapa sahaja.
Kalau tiba musim buah, buah-buahan akan dinikmati bersama. Kalau ada menangkap ikan, akan diagih-agihkan kepada jiran-jiran. Kalau tiba masa musim kenduri-kendara, maka datanglah handai-taulan membawa barang keperluan. Beras, gula, tepung serba sedikit. Begitulah hidup sungguh muafakat. Segala-galanya mengundang berkat. Dalam suasana itulah, Ustaz Ashaari terdidik. Kampung Pilin adalah Universiti Kehidupan baginya. Remajanya penuh didikan. Ditarbiah cara yang istimewa. Pada umurnya 17 tahun, terbit perasaan cemuhnya kepada wanita. Dia merasa muak. Dia berasa cuak. Dia berasa juak. Dalam situasi begitu, Ustaz Ashaari mengambil sikap menjauhkan diri dari bangsa hawa itu. Pemalunya bukan kepalang, sekalipun kepada saudara-mara wanitanya yang terdekat.
Tiba masanya untuk disekolahkan, Ustaz Ashaari pun dihantar ke sekolah Melayu. Hatinya menderita, kerana di terlalu ingin ke sekolah Arab. Tetapi perintah ayahanda pantang dibantah. Setia warisan tetap berkekalan. Maka diteruskannya juga belajar di Sekolah Melayu hingga ke darjah tujuh. Setelah tujuh tahun dalam penantian, memendam cinta yang tak kunjung suram, akhirnya Allah tunaikan juga hasrat Ustaz Ashaari untuk ke sekolah Arab. Dia berpeluang melanjutkan pelajarannya ke Maahad Hishamuddin. Di situ terserlah sifat yang diwarisi dari ayahandanya. Kecintaannya kepada ilmu sangat mendalam. Kecintaan itulah yang menemukannya dengan guru-gurunya, ulama-ulama ul Amilin. Di sana beliau berguru dengan Syeikh Mahmud Bukhari, ulama kelahiran Bukhara yang hafaz 10,000 hadis.
Berguru kepada, Almarhum Sheikh Khalil, Almarhum Haji Abdul Hakim Al Azhari dan Al Fadhil Ustaz Dahlan Abdul Manaf. Guru-guru itulah ayahnya. Cintanya kepada mereka hingga kini masih menyala. Kalau Ustaz Ashaari menceritakan tentang guru-gurunya akan terpesonalah para pendengar. Ceritanya hidup dan segar. Akan terus subur dalam ingatan. Tersimpan kemas dalam kamar hati, yang budi dan jasanya dibawa mati.