Archive for September, 2006

Lahir dan Batin Hendaklah Selaras

Tuesday, September 19th, 2006

Lahir dan Batin Hendaklah Selaras

Lahir dan batin kita biarlah sama
terhadap pegangan kita terhadap Tuhan
Janganlah satu membohongi yang lain
Janganlah akal mempercayainya,
lisan kita mengakui
tapi jiwa kita tidak menghayati
Kita yakin dengan Tuhan,
lidah kita selalu menyebut-Nya,
tapi jiwa kita tidak rasa bertuhan
Akal kita yakin Tuhan itu berkuasa
tapi kita tidak terasa
Dia menguasai kita setiap masa
Kuasa Tuhan itu hanya akal sahaja tahu,
mulut selalu berkata,
namun hati tidak terasa
Begitulah akal juga percaya Tuhan itu melihat,
lisan juga kalau ditanya dia mengiakan,
tapi hati tidak terasa dilihat
Seterusnya sifat mendengar Tuhan diterima akal,
lidah juga tidak membohonginya
namun hati tidak sedar Tuhan mendengar
Sifat mendengar Tuhan hanya diketahui
di dalam pengetahuan,
akal tidak menolaknya,
tapi hati tidak terasa
Kerana itulah kita boleh bercakap bohong
Percakapan kita selalu sahaja sia-sia
yang tidak memberi apa-apa faedah
Percakapan kita selalu sahaja membohongi
pengetahuan kita
Sikap dan pengetahuan kita tidak sama
Sikap kita membohongi akal kita
Orang mukmin sejati akal,
hati dan tindakannya sama
Ketiga-tiga anggota manusia itu selaras
Tidak membohongi satu sama lain
Jujur di luar, jujur di dalam
Apa yang nampak di luar,
itulah sifat batinnya
Tidak bertentangan satu sama lain
Ciri-ciri nifak tidak wujud
Sama ada terang-terangan
mahupun yang tersembunyi
Lahir dan batin sama-sama lurus
Tidak bercanggah satu sama lain
yang lahir dengan yang batin
Begitulah sikap mukmin sejati